Friday, December 17, 2010

L.O.V.E

Amalan Lestari Di Rumah

  • Gunakan kain untuk mengelap meja dapur dan tempat bekerja. Elakkan dari menggunakan tisu kerana ianya tidak boleh digunakan semula serta menyumbang kepada penambahan sisa buangan domestik.
  • Guna semula bekas kaca dan plastik sebagai tempat menyimpan barang. Ini akan menggelakkan pengguna dari perlu membeli bekas baru untuk menyimpan barangan serta dapat membantu untuk berjimat.
  • Guna semula beg plastik membeli belah sewaktu keluar untuk untuk membeli barangan. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan beg plastik kerana ianya sukar untuk dilupuskan.
  • Gunakan kuali memasak yang sesuai saiznya dan tutup periuk semasa memasak bagi menjimatkan tenaga. Penggunaan periuk tekanan dan pengukus adalah lebih baik dan menjimatkan tenaga sehingga 70% serta makanan yang dimasak juga adalah sihat.
  • Kumpulkan kertas dan surat khabar yang tidak digunakan untuk dihantar ke pusat kitar semula.
  • Jadikan bahan buangan organik sebagai baja kompos untuk tanaman. Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tanaman seperti pudina yang berfungsi sebagai penghindar serangan serangga perosak.
  • Membasuh kereta dengan menggunakan paip semburan amat membazirkan. Gunakan air yang diisi ke dalam baldi untuk mencuci kereta.
  • Gunakan mesin basuh pakaian apabila muatannya penuh. Air bilasan cucian boleh dikumpulkan semula dan digunakan untuk mencuci tandas serta longkang di sekitar kawasan rumah.
  • Gunakan mesin basuh pakaian yang jimat tenaga. Sebelum membeli mesin basuh pakaian, baca label kecekapan penjimatan tenaga mesin tersebut. Dengan memilih mesin basuh yang tinggi penjimatan tenaganya, penggunaan air dan elektrik dapat dikurangkan sehingga 50%.
  • Kawal kadar aliran air apabila menggunakan paip. Aliran air yang rendah boleh menggurangkan antara 25% sehingga 50% pengunaan air.
  • Gunakan pancuran untuk mandi dan elakkan mandi dengan menggunakan air takungan. Mandi menggunakan pancuran dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak 4 kali ganda.
  • Pasangkan sistem dua curahan pada tandas. Jika dibandingkan dengan sistem satu curahan, sistem dua curahan dapat menggurangkan penggunaan air sesebuah keluarga sebanyak 50%.
  • Semasa memberus gigi gunakan air yang diisi di dalam bekas dan jangan biarkan air mengalir secara berterusan
  • Isikan air ke dalam sinki untuk mencuci sayuran atau membasuh pinggan mangkuk. Ia menjimatkan 15 kali penggunaan air berbanding membasuh di bawah paip air yang mengalir berterusan.
  • Gunakan peralatan elektrik yang jimat tenaga. Padam dan buka plak elektrik selepas menggunakannya. Peralatan elektrik seperti televisyen yang digunakan selama 3 jam sehari dan selebihnya dibiarkan dalam keadaan "standby mode" selama 21 jam akan menggunakan sehingga 40% tenaga dalam keadaan "standby mode".
  • Jimatkan tenaga dan lindungi penglihatan daripada rosak dengan mengurangkan kadar keamatan cahaya skrin televisyen. Apabila kadar keamatan cahaya skrin televisyen terlalu tinggi, lebih banyak tenaga diperlukan dan jangka hayat televisyen juga akan berkurang.
  • Gantikan mentol bercahaya pijar biasa dengan mentol berpendaflour padat (CFL). Mentol berpendaflour padat dapat menjimatkan sehingga 60% tenaga berbanding mentol bercahaya pijar.
  • Gunakan peti sejuk sebaiknya untuk menimatkan tenaga. Nyah beku secara berkala dan elakkan membuka peti sejuk dengan kerap.
  • Gunakan pemanas air berkuasa solar untuk menjimatkan tenaga elektrik dan gas.
  • Gunakan langsir atau bidai berwarna putih untuk memantulkan haba dan mengurangkan pemanasan. Penggunaan pendingin hawa menyumbang kepada pemanasan global.
  • Jemur pakaian di bawah cahaya matahari daripada menggunakan mesin pengering. Ia dapat mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh mesin pembasuh untuk mengeringkan pakaian dan menjimatkan sebanyak 700 paun karbon dioksida dalam tempoh 6 bulan.
  • Berbasikal atau berjalan kaki ke kedai atau kawasan berdekatan. Amalan ini 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
  • Sokong dan bantu program kitar semula. Kitar semula barang buangan sebanyak mungkin.

TIP AMALAN BERJIMAT CERMAT


Salah satu cara pengurusan bijak dan kreatif dalam kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:

Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga
Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan
Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tip 3: Masak sendiri
Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah
Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat  paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri
Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas
Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran
Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.

Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah
Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.

Tip 9: Beli secara pukal
Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.

Tip 10: Lakukan perbandingan harga dahulu
Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.

Tip 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama
Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.

Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada kita sebagai pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu kini seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.

Thursday, December 16, 2010

Al-kisah hujung tahun

Al-kisah..pejam celik, pejam celik kita dah hampir sampai ke penghujung tahun 2010..ada kisah suka dan duka...tapi apa yang pastinya ia adalah tahun yang ceria..tahun yang membangkitkan aku dari mimpi yang panjang...yang pastinya kehadiran seseorang telah membawa warna ceria dalam hidup ini..dan aku sangat bersyukur kepadaNYA kerana telah dipertemukan dengan dia..jalanan hidup ini tidak lagi muram, suram dan kosong..

Aku bagai tersedar dari lamunan...cinta datang dan pergi..walaupun kita melihat ada pintu yang tertutup, tetapi masih ada pintu lain yang terbuka untuk kita...dan tolonglah jangan memandang terlalu lama pintu yang telah tertutup itu..jangan hidup dalam kenangan, jangan jadi hamba cinta secara membuta tuli..sesungguhnya takdir tuhan itu adalah yang terbaik buat kita..Tahun 2011..semoga ada sinar yang menerangi..semoga kebahagiaan akan tetap bersama kami..amiin..